Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli.

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan bermula hari ini hingga 31 Disember depan di seluruh negara terhadap penunggang dan pemilik motosikal.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata, operasi khas itu bagi pematuhan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah- Kaedah di bawahnya.

Pelaksanaan operasi khas itu juga susulan statistik yang membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama melibatkan motosikal iaitu sebanyak 1,908 atau 70 peratus.

“Bagi menyasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ketiga dan keempat tahun 2024, strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik  motosikal yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat  kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Aedy Fadly, bagi mencapai objektif keseluruhan operasi ke arah meminimumkan kadar kemalangan dan kematian, JPJ akan memfokuskan kepada lapan kesalahan utama.

Kesalahan itu, jelasnya, tiada lessen memandu; tiada lessen kenderaan motor (LKM) atau tamat tempoh; tiada perlindungan insurans, melanggar lampu isyarat lalu lintas; ubah suai kenderaan (extreme); tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan-kesalahan lain (teknikal).

Sehubungan itu, JPJ memohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang dan pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan  peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang  lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya.

“Usaha ini juga adalah untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan  raya di negara selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia  (PKJRM).

“Pihak JPJ turut menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan  secara terus atau real time menerusi Aplikasi MyJPJ : e-Aduan@JPJ atau  emel [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast