Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya berusia 11 tahun 10 bulan di Cheras bulan lepas.

Tertuduh berumur 37 tahun itu didakwa melakukan perbuatan terbabit bagi tujuan seksual terhadap kanak-kanak perempuan itu di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 12 tengah hari, 19 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Atiqa Nazihah Azmi tidak menawarkan jaminan atas alasan tertuduh dan mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dan tinggal bersama.

“Namun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara bagi memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis selain dilarang mendekati mangsa, keluarga dan saksi. Tertuduh juga tidak boleh tinggal serumah dengan mangsa sehingga kes selesai,” katanya.

Peguam K. Narandra daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dibenarkan dalam lingkungan RM5,000 selain bersetuju dengan syarat tambahan yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan.

“Anak guam saya akan tinggal di rumah abangnya di Putrajaya dan mangsa pula akan dihantar ke sekolah asrama. Tertuduh akan dijamin oleh isterinya yang juga ibu mangsa dalam kes ini.

“Tertuduh mempunyai tiga anak yang dua daripadanya merupakan anak tirinya,” kata peguam itu.

Dalam prosiding berkenaan, Hakim Azrul Darus turut dimaklumkan bahawa mangsa sendiri telah membuat laporan polis berhubung perbuatan bapa tirinya itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 2 Dis ini untuk sebutan kes. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast