Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengaktifkan Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) Pekerja Asing 2024 mulai hari ini.

Operasi itu telah dijalankan secara serentak melibatkan 54 pejabat PERKESO seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ia telah dilaksanakan untuk memburu majikan yang culas mendaftar dan mencarum pekerja asing.

“Ini termasuk ekspatriat serta pekerja domestik yang layak di Bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Sehingga 30 September lalu, data PERKESO menunjukkan bahawa hanya sekitar 88 peratus pekerja asing di Malaysia telah mendaftar dengan pertubuhan ini lebih membimbangkan dalam kalangan pekerja domestik asing.

“Kadar pendaftaran yang hanya mencapai 59 peratus sahaja membuktikan langkah penguatkuasaan ini diambil adalah tepat pada masanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohammed Azman, penyalahgunaan pas kerja yang kerap berlaku dalam kalangan pekerja asing menyebabkan mereka tidak layak menerima perlindungan keselamatan sosial di bawah PERKESO iaitu sesuatu yang penting jika ditimpa bencana atau kemalangan.

Dalam pelaksanaan Ops Kesan Pekerja Asing 2024, PERKESO akan mengeluarkan kompaun kepada majikan yang didapati melakukan kesalahan semasa pemeriksaan premis dijalankan.

“Berdasarkan statistik Ops Kesan sejak 2009 sehingga Oktober 2024, sebanyak 24,801 notis kompaun telah dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja manakala sebanyak 25,574 kes telah didakwa di atas pelbagai kesalahan.

“Kesalahan ini boleh menybebabkan majikan dijatuhi hukuman penjara selama sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Jika kamu rasa kepatuhan terhadap undang-undang itu mahal, cubalah untuk jadi tidak patuh,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here