Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra pada kenduri rakyat di Perkarangan Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 1 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau telah diminta untuk menghadiri Persidangan Khas OIC yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.

Menurut beliau, jemputan okeh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman itu bakal menyentuh konflik di Timur Tengah khususnya membabitkan serangan di Gaza, Palestin.

Anwar berkata, sepatutnya dunia Islam perlu ada kekuatan tersendiri dan akan dilihat lemah jika gagal berbuat demikian.

“Semalam Putera Mohammed Salman (Putera Mahkota Arab Saudi) maklum ada Persidangan Khas OIC di Riyadh, minta saya hadir.

“Saya jawab insya-Allah cuba tetapi saya kata harus ada (nampak) kuat sikit, kalau tidak, kita nampak lemah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Temu Anwar yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia walaupun sebuah negara kecil tetapi tidak boleh berdiam diri dengan serangan berterusan Israel terhadap penduduk Gaza sekalipun dengan mengemukakan suara bantahan.

Perdana Menteri turut menegaskan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang menanam kebencian kaum dan bibit-bibit rasisme di negara ini.

Mengambil contoh kezaliman yang berlaku di Gaza, beliau berkata, antara puncanya adalah kerana sentimen kaum dan kebencian terhadap Islam serta Arab telah disebarkan secara keterlaluan.

“Masalah yang berlaku (di Gaza) itu kemanusiaan. Sebab itu untuk ada kaitan dengan Malaysia, saya paling tidak toleransi dengan orang yang tanam kebencian kaum dan semua bibit rasisme di Malaysia.

“Bibit itu ada… kita (hanya) akan bekerjasama dengan mata macam kita, bukan mata macam sepet dan warna kulit kita, bukan warna kulit gelap.

Apa dia ini? Apakah orang Islam mengizinkan penghinaan kerana warna kulit?,” kata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast