Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM).

KUALA LUMPUR – Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) menggesa semua pihak menghormati langkah kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan dalam usaha mengangkat martabat dan kedudukan institusi mufti sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan akta yang berkuat kuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Presidennnya, Abu Suffian Abu Yaziz berkata, PPSM menolak desakan supaya Menteri Agama, Datuk Seri Mohd. Nai’m Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah meletakkan jawatan disebabkan perbezaan pendekatan ijtihad dan khilaf pandangan terhadap segelintir pihak dalam memuktamadkan isu itu.

Jelas beliau, perbezaan itu sewajarnya menjadi adab yang perlu disantuni lebih-lebih lagi dalam merapatkan jurang perbezaan, kecelaruan pemikiran, fahaman dan iktikad dalam kalangan umat Islam mutakhir ini.

“Sebagai sosok yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran Islam, kehakiman, perundangan syariah, pengurusan haji, umrah dan lain-lain, desakan sedemikian bukanlah suatu amalan yang sihat dan profesional dalam pengurusan dan kepemimpinan organisasi.

“Melainkan jelas perkara tersebut melibatkan isu pelanggaran tata kelola atau terbukti tidak kompeten,” katanya dalam  kenyataan.

Tambah Abu Suffian, RUU Mufti Wilayah Persekutuan dilakukan berdasarkan lunas undang-undang sedia ada seperti mana diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu PPSM menasihati semua pihak segera menghentikan tindakan menghasut dan menanam kebencian umat Islam terhadap kedudukan Menteri dan Mufti Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab dan jelas sedang melaksanakan gagasan Pelan Transformasi al-Falah dalam pentadbiran Islam Syariah, pentadbiran hal ehwal Islam dan sebagainya.

“Kembalikan semula sifat tasamuh dan adab yang menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat MADANI serta ketepikan andaian yang bersifat dangkal dan sempit,” katanya.

Tambah beliau, PPSM mendukung prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam menyantuni adabul ikhtilaf seperti mana diamalkan oleh Salafus Soleh dalam meletakkan kedudukan syariat Islam dan menterjemahkan amal Islami yang mulia dan berkeperibadian tinggi.

Sebelum ini, seorang ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin menyarankan Mohd. Na’im digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dapat ditangani dengan lebih baik.

Malah, menurut Abu Hafiz, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang “lebih baik” dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast