Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah lslamiah Malaysia (YADIM) memandang serius gesaan yang mengusulkan mahu menggantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Nai’m Mokhtar susulan isu pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, usul berkenaan bukan sahaja mengabaikan rasa hormat terhadap kepimpinan agama malah boleh mencemarkan institusi agama yang telah sekian lama menjadi rujukan utama umat Islam dalam
mengekalkan keharmonian masyarakat.

“Dalam kedudukan beliau sebagai Menteri Agama, Mohd Na’im memiliki pengalaman yang luas dalam bidang kehakiman yang menjadi asas kukuh dalam pentadbiran beliau di peringkat kementerian.

“Pengalaman beliau ini bukan sahaja memberi perspektif yang menyeluruh mengenai undang-undang syariah malah memperkukuh peranan beliau dalam menegakkan keadilan berlandaskan prinsip Islam,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Hasanuddin, gabungan latar belakang kehakiman dan kepimpinan agama menjadikan beliau pemimpin yang berwibawa dalam mengimbangi dasar kerajaan dan tuntutan agama.

“Di samping itu, kedudukan beliau sebagai anggota Kabinet yang kekal mempertahankan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri dan peranan beliau melaksanakan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu melalui Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam
(MKI) adalah bukti komitmen beliau dalam memperkukuhkan institusi agama.

“Pindaan RUU ini amat penting untuk memperkukuhkan institusi mufti di Wilayah Persekutuan.

“Berlaku khilaf dalam memastikan syarat pelantikan mufti dalam keadaan semua tahu bahawa ia adalah kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Sebagai Yang Dipertua YADIM, beliau menegaskan YADIM menolak sebarang gesaan yang tidak berasas untuk menggantikan Menteri Agama hanya atas perbezaan pendekatan atau pandangan.

Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak konstruktif, malah berpotensi menjejaskan kredibiliti institusi agama dalam membimbing masyarakat Islam dengan lebih jelas dan adil.

“YADIM menyeru semua pihak agar mengekalkan sikap berlapang dada dan mengamalkan prinsip Adab al-Ikhtilaf dalam berbeza pandangan demi memastikan keharmonian dalam kalangan masyarakat Islam terus terjaga.

“Pendekatan gopoh dalam mengutarakan desakan tidak membawa sebarang manfaat dan sepatutnya dielakkan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau perpecahan yang tidak diperlukan,” tegasnya.

Sebelum ini, seorang ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa, Dr  Abu Hafiz Salleh Hudin menyarankan agar Mohd Na’im digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dapat ditangani dengan lebih baik.

Malah menurut Abu Hafiz, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang “lebih baik” dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here