Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan perniagaan fesyen atas talian Malaysia, Fashion Valet Sdn Bhd (Fashion Valet) berhubung laporan kerugian RM43.9 juta.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam satu kenyataan berkata, siasatan juga perlu dilakukan dalam proses pelaburan oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi memastikan tiada unsur penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa dalam pelaburan itu.

Dalam masa sama, tambahnya, MCW turut mencadangkan supaya tadbir urus korporat dalam institusi pelaburan awam seperti Khazanah dan PNB ditingkatkan.

Jelasnya, ia termasuk dengan memperkenalkan kawalan yang lebih ketat dan prosedur penilaian yang lebih teliti sebelum pelaburan besar diluluskan, terutama dalam sektor yang berisiko tinggi seperti e-dagang.

“MCW melihat isu ini sebagai hal yang perlu dipandang serius kerana ia melibatkan dana awam dan pelaburan oleh institusi yang mewakili kepentingan rakyat seperti Khazanah dan PNB.

“Pelaburan sebanyak RM47 juta yang hanya membawa pulangan sebanyak RM3.1 juta menimbulkan persoalan mengenai ketelusan, keberkesanan dan pertimbangan risiko dalam membuat keputusan pelaburan,” demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu, MCW menambah, aspek akauntabiliti dan ketelusan juga perlu dipertingkatkan termasuk pendedahan maklumat mengenai pelaburan dan prestasi pelaburan yang dilakukan oleh Khazanah dan PNB.

“Sekiranya berlaku ketirisan atau pengabaian dalam proses membuat keputusan, tindakan perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab agar hal sebegini tidak berulang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Khazanah dan PNB menanggung kerugian RM43.9 juta ekoran penjualan pelaburan minoriti mereka dalam Fashion Valet seperti yang dinyatakan dalam jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada pertanyaan yang diterbitkan di laman web Parlimen, Isnin lalu.

Pada 2018, Khazanah dan PNB masing-masing melabur RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam Fashion Valet untuk menyokong rancangan pertumbuhan perniagaan.

Kementerian Kewangan berkata, pandemik Covid-19 dan pasaran pengumpulan dana yang mencabar bagaimanapun, menyebabkan perniagaan syarikat Fashion Valet terjejas teruk dan memerlukan modal baharu yang besar untuk meneruskan operasi.

Pada akhir 2023, sebuah syarikat Bumiputera, NXBT Partners menawarkan untuk mengambil alih pegangan saham sedia ada Khazanah dan PNB di dalam Fashion Valet dan menyuntik modal diperlukan ke dalam syarikat tersebut.

Kesemua pemegang saham bersetuju menerima tawaran tersebut yang mana Khazanah dan PNB telah menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham tersebut.

Bagaimanapun, kata Kementerian Kewangan, jumlah kerugian daripada penjualan saham Fashion Valet itu adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan.

Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut meminta Khazanah dan PNB membuat penjelasan berhubung kerugian terbabit memandangkan kedua-dua entiti terbabit terlibat dalam pengurusan dana awam, selain isu tersebut kini sudah menjadi perhatian umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast