Datuk Mohd. Zaid Ibrahim.

KUALA LUMPUR – UMNO boleh kembali semula ke puncak kuasa sekiranya mampu mencari punca utama kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd. Zaid Ibrahim.

Dakwa beliau, skandal 1MDB adalah antara punca UMNO tersingkir daripada kekuasaan.

Jelasnya, menjatuhkan hukuman penjara kepada seorang individu dalam kes 1MDB yang merujuk kepada bekas bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak tidak akan mendedahkan punca skandal tersebut.

Sebaliknya, ujar beliau, semua pihak yang bertanggungjawab dalam kes itu perlu dikenakan hukuman.

“Ini bukan sekadar menyelamatkan seorang pemimpin tetapi memastikan UMNO kekal dominan dan relevan.

“Bagaimana? Dengan berjuang untuk reformasi sebenar ke arah memastikan institusi UMNO dan tadbir urus itu cukup kukuh untuk mencegah satu lagi kes seperti 1MDB,” katanya menerusi ciapan di laman sosial X beliau hari ini.

Tambah Mohd. Zaid, beliau pernah dengan keras mengkritik UMNO kerana sikap sambil lewa terhadap Najib dan kes 1MDB.

Tetapi, jelasnya, tindakan itu diambil kerana mahu melihat UMNO menjadi lebih kuat meskipun diberi amaran beliau boleh dikenakan tindakan ekoran kritikan yang dibuat tersebut.

Ujarnya, kritikan itu juga kerana beranggapan beliau bukan sesiapa di dalam UMNO sebaliknya hanya merupakan ahli biasa yang menghargai kebebasan bersuara.

“Mengapa UMNO penting? Ia jauh daripada sempurna tetapi ia satu-satunya parti yang sesuai untuk mentadbir Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan mereka yang tiada kewarganegaraan, dan juga Malaysia,” katanya.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Najib yang juga bekas Perdana Menteri membela diri atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast