Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain merasmikan majlis Sambutan Hari Perikanan Sedunia 2024 di Anjung Floria, Putrajaya, tengah hari tadi.

PUTRAJAYA – Pencerobohan kapal nelayan asing di perairan Malaysia satu ancaman serius yang boleh menjejaskan kelestarian sumber daya perikanan, mata pencarian nelayan tempatan serta kerugian kepada pendapatan negara.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, undang-undang sedia kini dalam perancangan untuk dipinda agar hukuman dan denda yang lebih berat dikenakan.

“Jabatan Perikanan sedang berusaha untuk meminda Akta Perikanan 1985 dengan mengenakan denda yang lebih berat. Undang-undang yang dipinda juga boleh mengawal nelayan tempatan daripada sebarang salah laku yang boleh beri tekanan kepada nelayan tradisi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Hari Perikanan Sedunia (HPS) 2024 di Anjung Floria hari ini..

Jelasnya, aktiviti pencerobohan menunjukkan sedikit pengurangan, namun masih berlaku khususnya di perairan Laut China Selatan, Terengganu, Kelantan, Pahang, Selat Melaka, dan di bahagian Sabah dan Sarawak.

“Kita mengambil perhatian terhadap aktiviti penangkapan ikan yang tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU) termasuk aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

“Jadi, dalam perkara ini, Kementerian Pertanian melalui Jabatan Perikanan sentiasa bekerjasama bersama agensi-agensi penguatkuasaan maritim yang lain,” ujarnya.

Kerjasama itu termasuk bersama pihak Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Wisma Putra dan Majlis Keselamatan Negara untuk pantau aktiviti pencerobohan nelayan asing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast