KUALA LUMPUR – UMNO Kedah mohon agar pemilik pasukan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) lebih berhati-hati memilih rakan kongsi bagi pembiayaan dan operasi pasukan bola sepak yang sedang berhadapan dengan krisis kewangan.
Niat yang ditunjukkan sebuah syarikat dikenali DSAT harus dinilai secara mendalam (due diligence) daripada aspek komersial dan keupayaan kewangan syarikat yang menunjukkan minat itu sendiri, kata Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
“UMNO Kedah bimbang, kemelut gaji dan kewangan KDAFC dilihat sebagai satu peluang untuk pihak-pihak tertentu bagi mencipta ‘populariti’ segera bagi tujuan lonjakan pasaran syarikat tersebut.
“UMNO Kedah menasihatkan agar pihak pengurusan KDAFC yang dianggotai oleh beberapa ahli lembaga pengarah ‘bisu’jangan membuat sebarang penjualan panik dibimbangi ianya akan menjejaskan masa depan syarikat secara kekal,” ujarnya dalam kenyataan.
Menurut Shaiful Hazizy, UMNO Kedah masih percaya mekanisme terbaik ada campurtangan kerajaan negeri melalui anak-anak syarikat yang mempunyai struktur kewangan yang kukuh diimbangi pelan jangkamasa panjang yang menyakinkan.
“UMNO Kedah yakin model Red Giants FC adalah satu panduan terbaik bagi mana-mana model pengurusan komersial sebuah kelab bola sepak.
“UMNO Kedah jua tertanya-tanya apakah hasil daripada pertemuan pihak KDAFC bersama Menteri Besar yang sepatutnya memberi khabar gembira buat semua pemain. Pemulihan KDAFC adalah sangat penting bagi memastikan kelangsungan bola sepak negeri,” katanya. – MalaysiaGazette