Anwar berucap pada Majlis Sambutan Jubli Intan 75 tahun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Malaysia akan memanfaatkan peluang sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan untuk menunjukkan pencapaian data dan statistik agar menjadi teladan kepada negara-negara ASEAN lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya berharap Jabatan Perangkaan (DOSM) dapat memberikan penerangan terperinci mengenai pencapaian negara untuk persidangan tersebut.

“Pengumpulan data dan angka yang tepat dalam merangka dasar serta strategi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara adalah penting kerana ia bukan sahaja menyakinkan tetapi juga tidak boleh dipertikaikan.

“Setiap perancangan daripada unjuran pertumbuhan hingga kajian kemiskinan dan bantuan untuk rakyat, bergantung sepenuhnya pada tahap kecekapan dan integriti data yang disediakan agar tidak berlaku ketirisan yang merugikan negara.

“Tahun depan kita akan mempengerusikan ASEAN dan kita mengharapkan DOSM dapat berikan penjelasan penerangan tentang prestasi yang kita capai dan boleh jadi contoh serta teladan terbaik bagi (negara-negara) ASEAN di rantau ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Intan 75 tahun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena hari ini.

Dalam majlis itu, DOSM buat julung kalinya melancarkan laporan Indikator Kos Sara Hidup 2023.

Sementara itu, menyentuh mengenai subsidi kepada rakyat, Anwar menegaskan, Malaysia merupakan antara negara yang memperuntukkan subsidi paling tinggi dan mengutip cukai paling terendah di Asia.

“Data tersebut dimaklumkan menerusi kajian di beberapa persidangan serta pakar ekonomi antarabangsa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN tahun depan bersedia untuk mendepani dua cabaran utama iaitu menjadikan rantau ini sebagai hub tenaga terbesar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Cabaran seterusnya, kata Perdana Menteri adalah untuk memastikan inisiatif strategik Grid Kuasa ASEAN (APG) dimeterai bagi meningkatkan bekalan tenaga dan memperkukuh serta menjana peluang pelaburan baharu di rantau ini.

Untuk rekod ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast