Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Melaka sedang berusaha untuk mengaktifkan semula penerbangan ke Pekanbaru, Indonesia sebagai pasaran
utama pelancongan kesihatan dari negara jiran itu yang menerima rawatan kesihatan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu adalah susulan kejayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka
(LTAM), Batu Berendam di sini menerima penerbangan sulung daripada Scoot Airlines pada 23 Oktober lalu.

“Selepas seminggu beroperasi ia berjaya merekodkan seramai 751 orang penumpang dan ini adalah langkah strategik, terutamanya dalam memperluas akses Melaka sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

“Justeru kita sedang berusaha untuk mengaktifkan semula penerbangan ke Pekanbaru, Indonesia sebagai pasaran utama pelancongan kesihatan,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 di LTAM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, berdasarkan rekod tahun lalu, Melaka telah menerima 82,941 pelancong kesihatan dari Indonesia yang mendapatkan rawatan di Melaka.

“Jadi, ini merupakan potensi besar untuk syarikat-syarikat penerbangan membuka laluan penerbangan terus dari Indonesia
LTAM.

“Ini sekali gus dapat menyokong agenda pelancongan antarabangsa Melaka, termasuk persediaan menyambut World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) pada tahun hadapan,” katanya.

KUAM 2024 yang diadakan selama empat hari sejak Khamis lalu sehingga esok mendapat 488 penyertaan daripada pasukan badan beruniform dan kerjasama penuh daripada Kementerian Pertahanan yang membawakan pameran aset ketenteraan negara.

Antaranya adalah kereta kebal, pengesan bom, motosikal perang dan senjata api tentera selain pameran kerjaya daripada agensi-agensi utama yang memberikan maklumat kerjaya dalam sektor keselamatan dan penerbangan.

Terdapat juga simulator jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman
mengendalikan jet tempur yang menjadi tarikan kepada generasi muda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast