Anwar Ibrahim.

BUTTERWORTH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua kerajaan negeri memberi fokus kepada penambahbaikan warung, gerai dan penjaja kecil sebagai simbol identiti kota selain memastikan kebersihan dan keselesaan bagi semua.

Jelas beliau, ia adalah usaha untuk memastikan pembangunan yang lebih adil dan inklusif susulan hampir 80 peratus rakyat lebih cenderung memilih untuk makan dan berbelanja di warung-warung kecil berbanding restoran besar.

“Tahun pertama (jadi Perdana Menteri) saya tak fokus pembangunan mercu tanda sebaliknya minta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jadikan ibu negara dikenali dengan kebersihan, gerai, warung, restoran kecil bersih dan indah.

“Bila bercakap pasal kota, gedung-gedung besar biar pihak swasta buat..dia (pihak swasta) nak buat bangunan, hotel dia buat. Kerajaan negeri saya minta tumpu kepada warung, gerai penjaja.

“Tak malu ka bukan main hebat Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor Bahru tapi bila tengok gerai warung yang hampir 80 peratus rakyat kita pergi makan macam nak roboh, lampu tak menyala, tandas busuk dan kotor. Ada bangga kita begitu?

“Sebab itu penting untuk memperbaiki infrastruktur seperti tandas, bumbung dan lampu di kawasan perniagaan kecil bagi meningkatkan pengalaman rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen PICCA di sini hari ini.

Anwar (tengah) pada Majlis Perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen PICCA, Pulau Pinang hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa usaha itu selari dengan dasar Madani yang mengutamakan keperluan manusia dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam pertemuan dengan pelabur luar seperti Google dan AWS, beliau turut menyatakan komitmen untuk memastikan pembangunan pesat sektor korporat turut memberi manfaat kepada penjaja kecil dan peniaga tempatan.

“Penting untuk kita menyediakan tempat yang selesa untuk perniagaan kecil di kawasan perindustrian dan perumahan agar pekerja-pekerja yang terlibat dalam sektor ini dapat terus menyokong ekonomi setempat.

“Melalui langkah-langkah ini, kerajaan berharap dapat mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih mampan dan mesra rakyat di mana peniaga kecil bukan sahaja mendapat manfaat dari pembangunan ekonomi malah mampu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Dengan fokus yang jelas pada kebajikan rakyat, kerajaan yakin pendekatan ini akan memperkukuh struktur ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here