BUTTERWORTH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu siasatan terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dijalankan secara telus tanpa pengecualian atau perlindungan kepada mana-mana pihak.
Jelas beliau, siasatan terhadap NAFAS bertujuan memastikan harga baja dan benih dapat dikawal serta proses import dilakukan secara sah dan telus.
“Ini sekarang heboh pasal NAFAS itu terpulang pada siasatan..tapi kita nak yang ambil yang dapat baja benih ini.. kita nak supaya harga patut, import cara betul itu sahaja.
“Meskipun NAFAS beroperasi secara bebas namun ia masih di bawah kelola Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Saya dah lama marah pada kartel ni. Kartel ni makna apa..makna kelompok kecil jaga dia bukan jaga rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar turut menyentuh mengenai siasatan terhadap Khazanah Nasional.
“Walaupun saya memegang jawatan sebagai pengerusi Khazanah namun saya tidak menghalang sebarang siasatan. Kalau salah, siasat, dakwa dan hukum,” katanya.
Semalam, NAFAS digantung berkuatkuasa sehingga suatu masa ditentukan kelak.
Menurut Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin, tindakan diambil susulan ketidakharmonian yang berlaku apabila pihak Jemaah Pengarah NAFAS mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk dan membelakangi Pendaftar Pertubuhan Peladang.
Dalam masa yang sama, Amir menafikan penggantungan NAFAS berkaitan dengan isu kartel baja yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu LPP mendakwa keputusan AJP NAFAS yang menggantung pengurus besarnya, Muhammad Faris Arriffin sebagai tidak sah kerana keputusan tersebut sepatutnya dirujuk terlebih dahulu kepada Pendaftar.
Namun lembaga itu berkata, tiada pemakluman daripada Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob mengenai perkara berkenaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
NAFAS digantung, AJP, kakitangan pengurusan tak berkuasa sementara – Amir