Aksi pelumba Petronas Mie Racing, Khairul Idham Pawi ketika sesi latihan kedua Moto2 pada perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2024 di Litar Antarabangsa Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 02 NOVEMBER 2024.

SEPANG – Nasib malang menimpa pelumba wildcard negara, Khairul Idham Pawi dan Helmi Azman selepas kedua-dua pelumba itu terlibat dalam kemalangan pada penghujung perlumbaan pusingan kelayakan 1 bagi kelas Moto2 di MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, di sini, hari ini.

Dalam sesi kelayakan tersebut, kedua-dua pelumba pasukan Petronas MIE Racing RW terlibat dalam insiden itu apabila jentera Helmi hilang kawalan di selekoh lapan sebelum dilanggar oleh Khairul Idham, yang lebih dikenali sebagai ‘SuperKIP’, yang pada ketika itu mengekori rapat di belakang.

Pengurus pasukan, Razmin Masli Abdul Razak berkata, Khairul Idham mengalami patah tangan kiri selain cedera di bahagian kaki dan tidak dapat bersaing esok manakala Helmi tidak mengalami kecederaan serius dan dapat meneruskan saingan.

“Khairul Idham patah tangan selepas ujian imbasan sinar-X dan kecederaan itu disahkan di pusat perubatan. Namun, untuk kecederaan di kaki, dia masih perlu menjalani ujian CT Scan. Helmi pula tidak mengalami kecederaan serius, cuma kecederaan ringan.

“Harap dia (Helmi) dapat teruskan aksi seperti biasa esok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, pemilik MIE Racing, Midori Moriwaki menyuarakan keyakinan bahawa Helmi akan dapat menampilkan tunggangan terbaiknya dalam perlumbaan esok walaupun terlibat dalam kemalangan.

“Saya tahu dia teruja untuk berlumba dan saya pasti Helmi akan memberikan yang terbaik untuk Jalur Gemilang dan juga untuk penaja Petronas,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast