PUCHONG – Akibat mahukan keuntungan cepat, tamak dan mudah percaya apa yang dijanjikan, kira-kira 10 individu rugi lebih kurang RM3 juta akibat penipu dalam talian (scammer) yang aktif di Facebook.

Salah seorang mangsa, Ken Wong, 40, berkata beliau mula tertarik dengan iklan yang menggunakan nama syarikat besar berpangkalan di United Kingdom (UK) pada Julai lalu sehingga kerugian RM450,000.

Menurut beliau, iklan berkenaan menawarkan kelas dagangan saham dan menjanjikan pulangan yang lumayan.

“Pada masa itu saya tidak sangka nak melabur untuk dapatkan dividen sahaja.

“Bermula daripada Facebook yang menggunakan nama syarikat Pantheon ventures, mereka akan bawa ke Whatsapp Group yang akan ajar dagangan saham,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Jelas beliau, selepas 23 transaksi pembayaran beliau mula curiga apabila diminta bayaran sebanyak RM1.7 juta sebagai langganan Infrastructure Processing Unit (IPU).

“Mereka kata boleh dapatkan keuntungan enam sehingga 10 peratus.

“Apa yang buat kami sedar ini perangkap apabila pihak itu mahu kami melanggan IPU bernilai sehingga RM1.7 juta,” katanya.

Susulan itu beliau telah membuat laporan polis pada Ogos lalu, namun mendakwa tidak ada tindakan lanjut sehingga hari ini.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Intergriti Persahabatan Nasional (PKIPIN), Joseph Prakash mempersoalkan kewujudan penipuan dalam talian berkenaan yang masih bebas di media sosial.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa pihak polis menyiasat aduan mangsa-mangsa yang lain.

“Mangsa pun sudah pergi ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan buat aduan di Bank Negara tapi masih tidak ada tindakan, jadi apa harus mereka ini lakukan kerana wang mereka telah lesap.

“Kita minta scammer-scammer ini disekat daripada terus berada di Facebook. Begitu juga pihak polis, kita minta mereka siasat perkara ini dan tanganinya,” katanya lagi.

Terdahulu katanya majoriti mangsa yang terpedaya dengan penipuan dalam talian tersebut berumur di antara 40 hingga 60 tahun. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast