KUALA LUMPUR- Empat individu termasuk isteri mangsa ditahan polis bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki tempatan di Lahad Datu, Sabah, 31 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau dalam kenyataan berkata, isteri mangsa dan dua lelaki ditahan pada hari kejadian manakala seorang lagi suspek ditahan semalam, bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, pihaknya, menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku di simpang Batu 3, Jalan POIC, kira-kira 12.34 tengahari, 31 Oktober lalu.
Katanya, laporan itu dibuat oleh seorang wanita yang mengatakan bahawa suaminya telah meninggal dunia dipercayai akibat dibunuh.
Susulan itu, katanya sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah simpang di Batu 3 Jalan POIC dan kemudian mangsa warga tempatan berusia 50 tahun dibawa ke rumahnya di Taman Fajar untuk dikebumikan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat kesan tikaman di dagu sebelah kanan, tetakan di belakang kepala dan dahi kiri serta lebam di dada kanan, bahagian belakang dan pinggang,” katanya.
Jimmy berkata, mayat terbabit kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
Sementara itu, Jimmy meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dalam kes ini dan pihak polis sedang menjalankan siasatan secara terperinci dari pelbagai sudut secara telus.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -MalaysiaGazette