Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet (FV) dan dakwaan salah laku membabitkan jutaan ringgit oleh Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, untung atau rugi syarikat adalah perkara biasa tetapi jika dana itu datangnya dari dana awam, maka satu siasatan yang telus perlu dilakukan.

Bahkan, perkara itu perlu dibentangkan kepada awam juga supaya ia dapat menjadi pengajaran pada masa akan datang.

“Sama ada Fashion Valet ataupun Nafas jika ada salah laku yang wujud maka jangan biarkan waima seorang pun terlepas dari kartel-kartel yang menelan duit rakyat ini!!!,” tegas beliau dalam hantaran di media sosialnya.

Akmal turut menyambut baik arahan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar yang mahu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet.

“Terima kasih PMX atas pendirian yang tegas ini,” ujarnya.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah menjual hasil saham mereka dalam FV kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Hasil penjualan saham tersebut bagaimanapun membuatkan Khazanah dan PNB hanya memperolehi RM3.1 juta.

Pada 31 Oktober lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengarahkan Khazanah, PNB dan FashionValet memberikan penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLiC) itu dalam FashionValet.

Khazanah menjelaskan tindakan menjual kepentingan dalam FashionValet, setelah pelaburan awal sebanyak RM27 juta (S$8.17 juta) pada tahun 2018 bagi memacu syarikat e-dagang fesyen tempatan itu.

Menurut Khazanah, penjualan itu bagi mengalihkan pemilikan kepada pihak baharu yang berupaya memacu syarikat ke arah trajektori pertumbuhan sejajar dengan tempoh pegangan pelaburan yang telah mencapai matlamat.

Sementara itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam kenyataan pada 1 November  menegaskan, pelaburan dibuat menggunakan dana proprietari PNB dan bukan dana amanah saham di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan oleh orang awam.

“Walaupun kesal dengan kerugian yang dialami sebanyak RM18.7 juta (S$5.6 juta) selepas menerima hasil jualan sebanyak RM1.3 juta (S$393,417), tetapi ini harus dilihat dalam konteks aset pelaburan bernilai RM337 bilion (S$102 bilion) yang diuruskan oleh PNB dan RM16.4 bilion (S$4.9 bilion) dalam pendapatan pelaburan yang dijana selepas mengambil kira kerugian pada TK23,” jelas kenyataan itu.

Berikutan polemik isu ini, usahawan fesyen, Vivy Yusof dan suaminya Fadzaruddin Shah Anuar memohon maaf dan akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta (S$13.5 juta) yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet..

Selain itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan telah memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi sebuah pertubuhan di bawah kementerian terbabit dipercayai Nafas.  -MalaysiaGazette

Siasatan NAFAS dilakukan tanpa pengecualian mana-mana pihak – PM

SPRM Siasat Kerugian RM43.9 Juta Fashionvalet #MGFlash

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast