LONDON – Lebih 100 kakitangan BBC menuduh syarikat penyiaran itu memberikan liputan berat sebelah yang memihak kepada Israel dalam laporan mengenai konflik di Gaza, sambil menggesa syarikat itu untuk “kembali kepada prinsip keadilan, ketepatan, dan kesaksamaan,” lapor Agensi Anadolu.

Surat yang dihantar kepada Ketua Pengarah BBC, Tim Davie ditandatangani oleh lebih 230 ahli industri media, termasuk 101 kakitangan BBC yang tidak mahu dikenali, wartawan dari organisasi media lain, ahli akademik, pelakon serta ahli politik, menurut laporan yang disiarkan The Independent.

Surat itu mengkritik BBC kerana dikatakan gagal mengekalkan piawaian editorial dengan kurangnya “kewartawanan yang adil dan tepat berdasarkan bukti dalam liputannya di Gaza.”

Ia turut menggesa BBC untuk melaporkan tanpa rasa takut atau berat sebelah dan menekankan kepentingan piawaian editorial yang tinggi.

“Kesan daripada liputan yang tidak menyeluruh adalah besar. Setiap laporan televisyen, artikel, dan wawancara radio yang gagal mencabar dakwaan Israel dengan tegas telah secara sistematik menghilangkan kemanusiaan rakyat Palestin,” menurut kenyataan dalam surat itu.

BBC menafikan tuduhan terbabit menegaskan bahawa ia “berusaha memenuhi tanggungjawabnya dalam menyampaikan berita yang dipercayai dan tidak memihak.”

“Apabila kami membuat kesilapan atau membuat perubahan pada cara kami melaporkan, kami akan bersikap telus. Kami juga jelas kepada penonton kami mengenai batasan dalam laporan kami – termasuk kekurangan akses ke Gaza dan akses terhad ke sebahagian Lubnan, serta usaha berterusan kami untuk menghantar wartawan ke kawasan berkenaan,” kata jurucakapnya.

BBC adalah antara beberapa organisasi media Britain yang menerima kritikan sepanjang tahun lepas atas liputan mereka mengenai Gaza.

Antara yang menandatangani surat itu termasuk ahli sejarah William Dalrymple, Catherine Happer, pensyarah kanan sosiologi dan pengarah media di Universiti Glasgow, Rizwana Hamid, pengarah di Pusat Pemantauan Media, dan penyiar John Nicolson, menurut laporan The Independent. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast