Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua lagi ditahan reman susulan siasatan salah guna kuasa membabitkan kartel perolehan baja bernilai kira-kira RM60 juta, jelas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka terdiri daripada dua bekas pengurus besar sebuah pertubuhan badan awam bagi membantu siasatan.

Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Syahrul Sazly Md Sani membenarkan kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60-an direman selama tiga dan empat hari iaitu sehingga 5 serta 6 November 2024 selepas permohonan dibuat SPRM pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan sekitar jam 8.30 malam semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan terhadap kartel perolehan baja membabitkan sebuah pertubuhan badan awam yang dipercayai mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terkini terhadap kedua-dua suspek.

Katanya, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Untuk rekod, siasatan SPRM mendapati kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60juta secara runding terus telah dibuat dalam tempoh masa enam hari saja pada sekitar bulan Jun 2022 pada era pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lalu.

Setakat semalam, tiga individu sudah ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang direman bermula 30 Oktober sehingga 2 November ini.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 telah menggantung NAFAS berkuat kuasa pada 1 November 2024 sebagai usaha untuk memulihkan pertubuhan itu secara holistik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast