JOHOR BAHRU – Keputusan kes peniaga yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya sehingga koma, tiga tahun lalu, ditangguhkan pada 9 Disember ini, selepas tertuduh tidak hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini.
Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan itu selepas peguam tertuduh, Mohd Salleh Togimin memaklumkan anak guamnya, Rosmaini Abd Raof, 41, dimasukkan ke Hospital Pendang akibat sesak nafas, petang semalam.
Mohd Salleh turut menyerahkan surat kemasukan hospital, selain nombor wad dan katil tertuduh kepada mahkamah.
“Saya dimaklumkan isteri tertuduh bahawa dia diserang sesak nafas sehingga tidak sedarkan diri selepas bermain bola sepak petang semalam.
“Bagaimanapun, saya tidak berhubung secara langsung dengan tertuduh sebaliknya hanya dimaklumkan isterinya,” katanya kepada mahkamah.
Hakim kemudian menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh keputusan di akhir pembelaan kes berkenaan.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Rosmaini yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin@Sylvester, sehingga koma, tiga tahun lalu untuk membela diri.
Terdahulu, keluarga Jahidah iaitu dua adiknya, Fauziah dan Mujahid Nordin, hadir seawal pukul 8.30 pagi di perkarangan mahkamah bagi mengikuti keputusan kes berkenaan.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini, dilaporkan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, itu.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri ketiga, Jahidah, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei 2021.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.
Kes Jahidah menggemparkan negara berikutan wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.
Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, di Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.
Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilaporkan membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023.- MalaysiaGazette