Bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Semua warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diharap  menyokong opsyen baru Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula 21 Oktober hingga 30 November ini.

Presiden Majlis Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan-Kesatuan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU), Ajulahin Japin berkata, kerjasama berkenaan akan membolehkan pembangunan dan kemapanan kementerian tersebut di samping memberi manfaat kepada warganya.

“SSPA adalah peluang untuk anggota kesihatan menikmati pendapatan bulanan yang lebih stabil dan selesa berbanding sistem saraan sebelum ini.

“Tambahan pula, tiada sebarang kerugian untuk penjawat awam dengan opsyen ini, dan ia menawarkan manfaat lebih baik bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa  sama, beliau turut menyeru wakil kesatuan tersebut memberi penerangan yang kompreensif dan meyakinkan kepada warga KKM yang masih belum menandatangani opsyen tersebut.

“Walaupun demikian masih terdapat golongan belum setuju terima SSPA. Kementerian komited untuk memastikan anggotanya dapat menikmati segala keistimewaan yang ditawarkan dalam SSPA,” ujarnya.

Penjawat awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari untuk memilih sama ada memilih bertukar kepada SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Disember ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sebelum ini berkata, pelaksanaan SSPA tidak akan menjejaskan pencen penjawat awam yang berstatus tetap dan pelarasan gaji baharu hanya terpakai kepada pegawai awam yang memilih opsyen SSPA sahaja.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast