Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap ketika sidang media berkenaan Pemberian Kuasa Kepada PUSPAKOM untuk Menjalankan Fungsi Pemeriksaan Kenderaan Motor di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 26 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kematian seorang remaja akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbitnya pada soket sebuah bas ekspres di Terminal bas Penang Sentral, semalam.

Menurutnya, pasukan petugas khas itu terdiri daripada JPJ, APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) dan MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia).

Penubuhan petugas khas itu turut bertujuan memastikan insiden seperti ini tidak berulang dan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.

Pada masa sama, APAD turut diarah menggantung operasi bas terbabit serta merta untuk siasatan lanjut oleh JPJ.

“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam insiden jam 7.30 malam itu, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbitnya pada soket sebuah bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral.

Mangsa berada dalam bas itu kerana dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata,  insiden itu disedari penumpang lain sebelum kejadian dilaporkan kepada polis oleh pemandu bas berusia 36 tahun.

Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengesahkan remaja lelaki itu maut akibat renjatan elektrik dan tiada kecederaan lain.

Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast