Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali

KUALA LUMPUR – Parti Islam SeMalaysia (Pas) sewajarnya tidak lagi menggunakan pendekatan politik sempit dan berasaskan perkauman dalam era Malaysia Madani yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, malangnya, senjata perkauman dan keagamaan sempit masih seringkali dihamburkan menerusi ucapan beberapa pemimpin Pas.

“Lihat sahaja kenyataan ‘mata, kulit dan darah’ oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria. Ini jauh sekali daripada semangat dipamerkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Pas sepatutnya memberi fokus kepada pembinaan bangsa Malaysia ketika ini. Kita adalah pembina negara. Bilakah Malaysia akan menjadi negara yang disegani jika kita masih menjuzuk-juzukkan rakyat?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Sheikh Umar, sebagai bekas ahli Pas, beliau menyarankan agar parti itu menghayati semula gagasan “Pas for all” yang pernah diangkat era kepimpinan al-marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Pada waktu itu, banyak rundingan telah dibuat oleh Pas. Bahkan, waktu itu juga tertubuh Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sehingga ramai bukan Islam dilibatkan dalam Pas.

“Namun gagasan besar itu nampaknya sudah hilang sepertimana perginya sosok pemimpin unggul Pas itu,” katanya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, perbezaan yang wujud dalam DAP adalah ramuan kekuatan Malaysia.

“Setiap bangsa, agama dan budaya telah menjadikan Malaysia negara yang kuat dan unik apabila setiap dari kita bersatu padu tanpa prejudis,” katanya.

Katanya lagi, jika mesej perpaduan yang dicanangkan oleh Setiausaha Agung Pas itu ketika ucapan Deepavali adalah ikhlas dari lubuk hati, ia sepatutnya menjadi titik muhasabah buat Pas terlebih dahulu.

“Justeru, jika saranan Setiausaha Agung Pas serius, ia perlu menjadi penerapan yang holistik hingga akar umbi. Bukan sekadar ucapan penyedap rasa ketika musim perayaan semata-mata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast