SEGAMAT – Lebih 200 pemilik tanah lot merayu kemudahan elektrik, air dan jalan ke Kampung Baharu Batu 5, Jalan Chemplak, Labis di sini disediakan ke kediaman mereka.
Pengerusi Bertindak Kampung Baharu Batu 5, Hamzah Mahat, 63, berkata, setakat ini terdapat tujuh rumah dibina oleh pemilik tanah lot di kampung itu yang dikurniakan kerajaan negeri pada 1986.
Bagaimanapun, kediaman tersebut tidak dapat diduduki sehingga kini walaupun kediaman sudah siap kerana tidak mempunyai kemudahan asas tersebut.
“Apa yang kami kesalkan masalah ini sudah berlarutan lebih 30 tahun dan permohonan kami untuk mendapatkan kemudahan asas tersebut tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib walaupun sudah membuat permohonan mengikut prosedur yang diperlukan.
“Disebabkan tiada jalan, kawasan ini terbiar menjadi belukar dan tidak dapat dijadikan sebagai kawasan penempatan selama lebih 20 tahun.”
“Sebelum ini pemilik berpakat mengeluarkan wang sendiri RM2,000 setiap seorang untuk membersihkan kawasan serta membuat jalan,”katanya ketika dtemui hari ini.
Katanya, selepas pembinaan jalan masuk, pemilik mula mendirikan rumah untuk menetap di kampung itu memandangkan rata-rata mereka tidak mempunyai kediaman lain selepas bersara.
Menurutnya, setakat ini terdapat tujuh buah sudah siap sepenuhnya manakala 16 permohonan lagi adalah untuk membina rumah bawah projek Rumah Mesra Rakyat (RMR).
Kebanyakannya sudah diluluskan tetapi kerja-kerja pembinaan tidak dapat dimulakan berikuta tiada bekalan air dan elekttik di kawasan tersebut.
Sementara itu, Jamil Dol, 59, yang akan bersara wajib pada Disember ini melahirkan rasa sedih kerana terpaksa menduduki rumah yang sudah siap dibina sejak dua tahun lalu tanpa kemudahan asas tersebut mulai bulan depan kerana tidak memiliki kediaman lain.
Katanya, sebelum ini dia sekeluarga tinggal di kuarters yang disediakan oleh majikannya.
Namun selepas menamatkan perkhidmatan hujung bulan ini, dia tidak lagi dibenarkan tinggal di kuarters tersebut dan terpaksa berpindah ke rumah baharu itu walaupun tanpa kemudahan asas.
Dia telah membelanjakan RM170,000 wang simpanan untuk mendirikan rumah tersebut dan kecewa terpaksa bergantung air hujan dan lampu solar apabila berpindah ke rumah tersebut nanti.
Rosmin Sadat, 57, yang sudah bersara terpaksa menangguhkan hasrat pulang ke kampung dan terpaksa menyewa di Kuala Lumpur walaupun rumahnya sudah disiapkan sejak dua tahun lalu.
Dia melahirkan rasa kecewa terpaksa mengeluarkan belanja yang agak tinggi bagi tujuan menyewa rumah di Kuala Lumpur hanya kerana tidak boleh menduduki rumah baharunya itu walaupun semua kelengkapan seperti perabut sudah dipindahkannya sebelum ini.
“Saya berharap masalah kami ini diberi perhatian segera oleh pihak berwajib kerana rata-rata kami tidak mempunyai kediaman lain selepas bersara. Ini satu-satunya lot rumah yang kami miliki untuk membina rumah kediaman selepas bersara.
“Tidak ada alasan untuk membangunkan kawasan ini kerana ianya bukan kawasan terpencil memandangkan kedudukannya hanya kira-kira enam kilometer dari Pekan Labis dan terlerak di tepi jalan utama Labis-Muar,” katanya.- MalaysiaGazette