KUALA LUMPUR – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan kosmetik di Pengkalan Haram Pok Dik Jeram Perdah, Kelantan, semalam.
Nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM76,800.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, serbuan dilakukan pada jam 7.30 malam semasa rondaan penugasan Op Taring Wawasan di situ.
“Semasa melakukan rondaan, pasukan bertugas telah melihat beberapa kotak yang mencurigakan berada di tebing sungai.
“Hasil pemeriksaan menemui lebih 384 botol pelbagai jenis kosmetik yang dipercayai diseludup dari Thailand. Anggaran nilai rampasan adalah RM76,800,” kataya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, kes akan disiasat di bawah 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Kesemua barang rampasan telah dibawa ke Komtak PGA Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.
“PGA akan terus memberi komitmen penuh untuk menggiatkan usaha mengekang aktiviti penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette