BEGINILAH keadaan penambakan haram di Kampung Sungai Serai Hulu Langat menyebabkan pencemaran habuk dan bunyi. Penduduk bimbang berlaku runtuhan jika hujan lebat ketika lensa MalaysiaGazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 31 OKTOBER 2024.

HULU LANGAT – “Nyawa kami bagai telur di hujung tanduk, jika tiada pengawasan dilakukan.”

Itu luahan salah seorang penduduk Lorong Serai 4, Kampung Sungai Serai di sini yang bimbang dengan tambakan tanah lebih 12 kaki berhampiran kawasan penduduk.

Muhammad Azlan Shah, 43, mendakwa tanah yang ditambak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sejak setahun lalu itu dilihat semakin tidak terkawal sehingga menganggu laluan keluar masuk rumahnya pada jarak 30 kaki.

Katanya, sudah hampir lima tahun dia menetap di kawasan itu bersama ibu mertua dan adik-beradiknya juga tinggal di lokasi berdekatan.

“Sebelum ini, tiada masalah dan di hadapan rumah saya ini adalah kawasan paya dan banyak pokok tapi sejak projek tambak tanah ini mula dari belakang sana nampak macam tidak terkawal.

“Pada mulanya, kami ingat mereka nak tambak paya di sini tapi semakin lama semakin tinggi dan mereka bukan bawa tanah sahaja tapi sampah sarap sekali sehingga ada pencemaran bau busuk.

“Kalau kita tengok secara dekat pun nampak tanah ini tinggi tapi ada sampah-sarap yang sudah ditimbus, di hadapan lorong rumah saya boleh nampak ada tilam, kayu dan pelbagai sampah lain lagi.

“Kalau daripada segi pencemaran udara pula macam debu tebal memang tidak disangkal lagi akibat lori Roro yang lalu dan hampir setiap hari kami perlu cuci kereta, motor serta tingkap rumah,” luahnya yang bimbang situasi itu.

Penduduk, Azlan Shah menunjukkan penambakan haram di Kampung Sungai Serai Hulu Langat menyebabkan pencemaran habuk dan bunyi di Hulu Langat, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 31 OKTOBER 2024.

Azlan juga bimbang dengan puluhan lori Roro keluar dan masuk di Lorong Serai 4 yang boleh mengancam keselamatan anak-anak serta pelajar tahfiz di kawasan terbabit.

Bukan itu sahaja, terdapat juga ‘kehadiran’ warga asing yang mengutip besi di kawasan terbabit sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.

“Kita yang duduk sini nampak setiap hari lori Roro yang masuk ada bawa plastik, sampah dan macam-macam sisa. Kalau besi mereka kutiplah tapi sampah pula buang di sini dan tambak dengan tanah di atasnya.

“Depan mata saya, mereka buang sampah macam meja dan barangan besar kemudian tambak di atasnya. Kita bimbang kalau hujan lebat akan berlaku tanah mendap atau runtuhan dan nak keluar pun nanti terhalang.

“Paling saya tidak tahan mereka buat kerja dari 7 pagi hingga 7.30 malam untuk turunkan tong besar dari lori Roro sampaikan bunyi bising,” katanya.

Penambakan haram di Kampung Sungai Serai Hulu Langat menyebabkan pencemaran habuk dan bunyi. Penduduk bimbang berlaku runtuhan jika hujan lebat ketika lensa MalaysiaGazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 31 OKTOBER 2024.

Azlan telah berulang kali membuat laporan berhubung perkara itu pada Sistem Aduan Bersepadu Kerajaan Negeri Selangor dan MPKj namun tiada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa setakat ini.

“Kalau ini projek tambakan tanah sahaja kita okay tapi ini melibatkan sisa sampah dan lori Roro datang dari sekitar Lembah Klang.

“Saya juga nak tahu ada kelulusan atau tidak daripada segi kerja untuk projek tanah ini dan kalau ada sepatutnya garis panduan mahu pun prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi.

“MPKj tolong turun padang di sini dan semak semula daripada segi status keselamatan tanah. Kita risau dengan banjir sebab baru ini berlaku aliran air tanah di kawasan rumah saya. Harap ambil tindakan segera,” jelasnya.

Penambakan haram di Kampung Sungai Serai Hulu Langat menyebabkan pencemaran habuk dan bunyi. Penduduk bimbang berlaku runtuhan jika hujan lebat ketika lensa MalaysiaGazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 31 OKTOBER 2024.

Dalam pada itu, tinjauan MalaysiaGazette ke kawasan tambakan tanah seakan-akan tidak disukai oleh beberapa ‘penjaga’ di kawasan berkenaan.

Malah kami diekori beberapa warga asing di sekitar kawasan terbabit yang berada lorong-lorong kecil dan sempit di lokasi berdekatan.

Selain itu, terdapat juga penempatan warga asing dilihat di atas bukit dalam kawasan tambakan serta longgokan sampah yang telah diasingkan mereka untuk dijual.

Pada masa sama, turut dipaparkan papan tanda MPKj di kawasan berkenaan memaklumkan kerja-kerja membaik pulih dan mengambus tanah bagi tujuan pertanian di atas tanah lot berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast