KUALA LUMPUR – Permohonan maaf sahaja tidak memadai sebaliknya, pihak yang menyebabkan pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam perniagaan fesyen dalam talian tempatan rugi perlu diheret ke muka pengadilan.

Pengerusi Pertubuhan Jaringan Budi Malaysia, Datuk Khairul Mohamed berkata, rakyat sudah tentu tertanya-tanya bagaimana syarikat pelaburan itu tidak membuat kajian sebelum merisikokan wang berjuta-juta ringgit ke dalam perniagaan tersebut.

“Penglibatan Khazanah dan PNB bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana ia sebuah entiti kerajaan yang mempunyai tadbir urus yang ketat apabila melibatkan
pelaburan yang berjuta-juta ringgit dan ia disifatkan hasil cukai rakyat.

“Sudah pastinya rakyat tidak kira golongan belia, dewasa ataupun tua akan tertanyatanya, adakah Khazanah dan PNB tidak melakukan kajian terlebih dahulu hinggakan membuat pelaburan yang merugikan,” katanya menerusi kenyataan.

Baru-baru ini dilaporkan, Khazanah dan PNB berdepan kerugian sebanyak RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Susulan itu, pengasasnya Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar akan melepaskan jawatan dalam FV.

Kemudian, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian yang mendapat perhatian pelbagai pihak itu.

Khairul menyifatkan jaminan Anwar itu dilihat mampu mengurangkan keresahan rakyat.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan memulakan siasatan berkaitannya.

Jelas beliau, siasatan itu penting kerana ia melibatkan penggunaan dana awam dan menjadi isu berkepentingan awam.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast