KUALA LUMPUR – Lebih 400 individu termasuk rakyat tempatan dan warga asing diperdayakan sebuah syarikat pelaburan mata wang asing sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM100 juta.
Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim yang mendedahkan perkara itu kepada MalaysiaGazette baru-baru ini berkata, syarikat pelaburan itu dipercayai dimiliki seorang rakyat Indonesia yang bergerak aktif dalam dan luar sejak tahun 2020 lagi di beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Difahamkan, banyak laporan telah dibuat dibeberapa buah negara terbabit terhadap sindiket yang masih bebas ketika ini.
“Sindiket ini saya difahamkan mempunyai agen dan broker di beberapa negara lain juga yang mengendalikan transaksi pelaburan selain pemindahan dana ke syarikat utama didalangi lelaki Indonesia itu termasuk seorang warga Rusia.
“Kebanyakan mangsa berminat akan diajak ikut kelas pembelajaran pelaburan mata wang asing sebelum ditawarkan untuk membuat pelaburan dengan pulangan dijanjikan sangat menarik.
“Urusan pelaburan diuruskan sebuah syarikat yang beralamat di Labuan, Sabah dan mangsa mendepositkan wang pelaburan ke beberapa bank tempatan atas nama syarikat. Setakat yang kita tahu ketika ini, lebih 400 mangsa dengan anggaran kerugian RM100 juta ke atas.
“Kebanyakan mangsa sudah membuat laporan dengan pihak berwajib berhubung skim pelaburan ini termasuklah warga asing yang diperdaya oleh syarikat ini,” katanya.
Sekitar Ogos tahun ini, MHO menerusi sidang media mendakwa menerima 400 aduan daripada mangsa skim pelaburan mata wang asing ditawarkan sebuah syarikat membabitkan kerugian dianggarkan RM100 juta.
Hishamuddin berkata, pihaknya mengesyaki tawaran skim pelaburan itu tidak sah dari segi undang-undang kerana syarikat terbabit tidak mematuhi undang-undang negara ini.
“Kita mohon kepada pihak berwajib untuk menyiasat syarikat ini yang begitu aktif memperdaya rakyat di negara ini, bagaimana mereka begitu kebal dan berani dengan berterusan menipu sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.
“Kebanyakan sindiket ketika ini sudah begitu bijak, mengguna pakai pelbagai cara sehingga mampu memperdayakan begitu ramai orang dalam masa singkat. Kita semua perlu tahu skim-skim seperti ini tidak mungkin dapat memberikan keuntungan atas angin tanpa sebarang agenda.
“Jangan tertipu kerana wang yang anda laburkan ini adalah hasil titik peluh anda untuk sekian lama. Kepada pihak berwajib, mohon tolong siasat semua laporan polis oleh pengadu-adu sebelum tindakan drastik. Jangan biarkan dalang seperti ini terus berleluasa,” ujarnya. -MalaysiaGazette