MEDAN – Seorang lelaki bertindak menikam isterinya sehingga mati akibat cemburu apabila mendapati isterinya masih berhubung dengan bekas suami di sini malam Sabtu lalu.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan sewaktu mangsa sedang bersiaran langsung di aplikasi Facebook dan karaoke bersama keluarganya.
Menerusi klip video berdurasi 32 saat itu, suspek yang dikenali sebagai Agus Herbin Tambun datang dari arah belakang secara tiba-tiba lalu menikam mangsa sebanyak lima kali.
Insiden itu disaksikan warganet yang menonton siaran langsung tersebut serta ahli keluarga mangsa yang turut menjerit ketakutan.
Suspek bertindak melarikan diri namun berjaya diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam setelah dia bersembunyi di rumah saudaranya.
Ahli keluarga mangsa kemudiannya membawa mangsa ke Rumah Sakit Chevani.
Bagaimanapun,mangsa, Hertalina Br Simanjuntak disahkan meninggal dunia.
Menurut jurucakap polis, Hertalina telah ditikam menggunakan pisau yang biasa digunakannya untuk memotong jeruk.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku tindakan itu didorong oleh rasa sakit hati dan cemburu kerana Hertalina masih berbaik dengan bekas suaminya,” katanya. – Agensi