Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR – Analisis impak peraturan mengenai cadangan penubuhan Lembaga Perindustrian Nanas, Kelapa dan Durian Malaysia (LPKNDM) dijangka siap dan dibentang pada Mac tahun depan.

Bagaimanapun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak menyebut secara spesifik bilakah lembaga tersebut akan ditubuhkan.

Menurut beliau, hasil analisis akan dibentangkan kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan 2 Tahun 2023 pada 25 Oktober 2023 dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 November 2023 telah bersetuju secara prinsip dengan cadangan penubuhan LPKNDM itu,” katanya.

Menurut beliau, analisis impak regulatori itu selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2021 – Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi (Perikatan Nasional) meminta KPKM menyatakan bila kementerian akan menubuhkan LPKNDM memandangkan penanaman kelapa telah lama menjadi industri yang berpotensi di Malaysia termasuklah salah satu punca ekonomi rakyat di kepulauan itu.

Sebelum ini Mohamad Sabu berkata, kelapa dan durian diletakkan di bawah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Langkah itu bertujuan untuk mengurangkan defisit imbangan dagangan melalui ketiga-tiga komoditi yang mendapat permintaan tinggi, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast