KUALA LUMPUR – Kerajaan dianggap gagal mempamerkan agenda khusus dalam usaha memartabatkan kakitangan awam menerusi opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Menurut Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), skim tersebut dilihat tidak memberi kebajikan secara menyeluruh kepada penjawat awam sehingga mereka pencen.
“Agenda untuk memartabatkan penjawat awam melalui skim SSPA ini pun kita tidak nampak agenda khususnya apa termasuk daripada segi kebajikan, prestasi, kualiti, tidak ada perancangan seperti skim dahulu yang ada skim pencen dan skim insurans yang boleh membela mereka selepas mereka pencen.
“Yang sekarang tidak ada, kita tidak nampak,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Awang Hashim berkata, sistem berpencen yang sebelum ini lebih memberi manfaat jika dibandingkan SSPA.
“Dulu siapa penjawat awam yang berpencen bangga kerana mereka dilindungi dengan insurans tapi SSPA ini saya tidak nampak lagi satu perincian yang dibuat kerajaan untuk membela penjawat awam yang akan bekerja dari mula sehingga mereka berpencen,” ujarnya.
Sebagai rekod, opsyen SSPA 2024 merupakan mekanisme untuk penjawat awam membuat pilihan sama ada untuk menerima atau menolak sistem itu atau sebaliknya.
Ia adalah langkah baharu menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diwujudkan untuk menambah baik dan memodenkan sistem perkhidmatan awam.
Kakitangan awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari mulai 21 Oktober lalu sehingga 30 November 2024 untuk membuat pilihan.- MalaysiaGazette