Mohamad Azree Zairi

KOTA TINGGI – Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas botnya terbalik ketika memancing di Sungai Sedili Besar dekat sini semalam.

Mangsa, Mohamad Azree Zairi, 25, dari Kampung Sayang, Tanjung Sedili dikatakan bersendirian semasa pergi memancing.

Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi pada pukul 2.43 petang dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Shawaluddin Ami Nordin berkata, sebelum kejadian, penduduk ternampak beberapa peralatan serta bot terapung dan mengesyaki mangsa terjatuh ke dalam sungai tersebut.

“Mangsa dilaporkan terjatuh selepas botnya terbalik. Susulan itu operasi SAR dilakukan melibatkan bomba bersama-sama pihak Maritim Malaysia, polis dan penduduk kampung sejak semalam.

“Sehingga kini, operasi masih giat dijalankan. Pencarian melibatkan pelbagai agensi dengan menggunakan tiga buah bot yang melakukan rondaan,” katanya dalam kenyataan.

Shawaluddin berkata, pencarian menggunakan teknik water surface di kawasan hotspot sepanjang tiga kilometer ke hulu dan darat dari lokasi kejadian dilakukan.

“Kami akan terus berusaha dengan segala sumber yang ada sehingga mangsa ditemui,” katanya ketika dihubungi hari ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast