KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan 17 struktur penjaja haram di kawasan PPR Jelatek hari ini.
Tindakan ini adalah bertujuan untuk memastikan aktiviti penjajaan haram tidak dibiarkan berleluasa, sekali gus memelihara imej dan reputasi Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang teratur dan bersih.
Aktiviti penjajaan haram yang semakin bertambah ini bukan sahaja memberikan imej negatif kepada persekitaran, malah mengganggu lalu lintas, utiliti awam, dan menjejaskan kebersihan, kata DBKL dalam kenyataannya.
DBKL berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang mementingkan diri sendiri dengan
membina struktur secara haram yang mencetuskan pelbagai masalah kepada penduduk.
Tindakan perobohan ini dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Air Selangor, setelah notis pemakluman selama 14 hari diberikan kepada penjaja haram untuk mengosongkan tapak.
DBKL juga telah mengadakan sesi libat urus dengan Persatuan Penduduk PPR Jelatek dan beberapa siri bancian bagi mengenal pasti penjaja yang tidak aktif.
“DBKL ingin menegaskan mana-mana struktur penjaja haram di kawasan PPR akan terus dibendung bagi mengelakkan pencerobohan berulang dan memastikan kawasan perumahan adalah selesa untuk didiami,” katanya.