Pelakon, Diana Danielle tiba untuk memfailkan cerai terhadap suaminya, Farid Kamil di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir memberitahu, pelakon, Diana Danielle datang bertemunya sebulan lalu mengadu masalah rumah tangga bersama suaminya, Farid Kamil.

Beliau berkata, anak guamannya itu itu memberi alasan mereka sering bergaduh yang berpanjangan dan ia tidak boleh diperbaiki lagi.

“Tiada persefahaman dan shiqaq (perbalahan) berpanjangan, kira bergaduhlah, tak boleh dibaiki. Di atas alasan itu difailkan oleh Diana,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bersama Diana bagi pendaftaran rujuk dan pemfailan permohonan perceraian antara aktres itu dan Farid di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aberdin menambah, anak guamnya hadir ke mahkamah untuk membuat pendaftaran rujuk terlebih dahulu sebelum menfailkan permohonan cerai.

Katanya, ia kerana pasangan itu bercerai 10 Ogos tahun lalu dan mereka rujuk pada 9 September tahun sama.

“Hari ini kita failkan pendaftaran rujuk itu dan diikuti permohonan bercerai. (Ambil masa lama daftar rujuk) mungkin anak guam ambil masa lama sikit.

“Proses daftar rujuk perlu dibuat secepat mungkin sebab ia berlaku dalam tempoh idah selepas sebulan bercerai dan mereka rujuk semula,” katanya.

Aberdin memberitahu, sebutan semula kes itu akan berlangsung pada 20 November.

Sementara itu, Diana terus meninggalkan mahkamah selepas kedua-dua proses di mahkamah selesao dan mengelak memberi sebarang komen kepada wakil media.

Rumah tangga Diana dan Farid kembali menjadi sebutan selepas aktres itu mengumumkan nekad mahu memfailkan perceraian pada 28 Oktober lalu.

Untuk rekod, pada 10 Ogos tahun lalu, Farid dan Diana bercerai talak satu.

Alasan diberikan pelakon filem Hanyut itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas 21 hari berpisah.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang berusia sembilan tahun. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Fail cerai kerana tiada lagi persefahaman – Peguam Diana

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast