Pelakon, Diana Danielle tiba untuk memfailkan cerai terhadap suaminya, Farid Kamil di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Pelakon, Diana Danielle hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk memfailkan kes permohonan perceraian kali kedua ke atas suaminya, Farid Kamil di sini hari ini.

Diana yang hadir memakai jubah hitam kelihatan tenang sambil ditemani peguam syarie terkenal, Datuk Akberdin Abdul Kadir.

Biarpun diasak dengan soalan oleh pihak media yang menunggu sejak pukul 8.30 pagi, ibu anak dua itu enggan memberikan sebarang jawapan.

Namun Diana akhirnya mengalah apabila meluahkan harapan isu rumah tangganya dapat diselesaikan secara baik.

“Saya harap yang terbaik untuk kami berdua dan berserah sebab apa yang kita hanya merancang dan selebihnya kita tengok apa yang penghujungnya,” katanya.

Sementara itu, Akberdin pula berkata, permohonan perceraian dibuat kerana pasangan suami isteri itu sudah tiada lagi persefahaman.

“Mereka tiada persefahaman dan hari ini kami hanya failkan dan akan dapatkan tarikh kemudian,” katanya.

Rumah tangga Diana dan Farid kembali menjadi sebutan selepas aktres itu mengumumkan nekad mahu memfailkan perceraian pada 28 Oktober lalu.

Untuk rekod, pada 10 Ogos tahun lalu, Farid dan Diana bercerai talak satu.

Alasan diberikan pelakon filem Hanyut itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas 21 hari berpisah.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang berusia sembilan tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here