Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berkenaan dakwaan sabotaj bekalan air di negeri Sabah di Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 01 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat mempunyai keupayaan untuk bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah, tahun hadapan.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kajian di lapangan oleh badan bebas baru-baru ini juga jelas menunjukkan GRS mempunyai potensi untuk menang walaupun dengan jangkaan kemenangan kerusi kurang dari dua pertiga.

“Umum mengetahui hampir kesemua wakil rakyat dan pimpinan GRS adalah orang lama dalam politik malahan mempunyai penyokong tegar masing-masing.

“Walaupun GRS yang diasaskan Datuk Seri Hajiji Noor adalah parti baharu, namun kepimpinan bahagian dalam parti itu dibarisi kepimpinan orang lama dalam politik dan calon yang boleh menang pada PRN17,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, parti itu bersedia untuk bergerak solo dalam PRN17 di Sabah akan datang.

Beliau berkata, tindakan ini akan diambil sekiranya tiada kesepakatan Kerjasama dicapai dengan parti-parti lain.

Menurut Zulkarnain, hasrat Hajiji dengan memilih membuka ruang mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRN17  harus dilihat kepada mewujudkan kestabilan politik di Sabah.

“Ketika ini, kerajaan sedang rancak membangunkan Sabah melalui Program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dan masih mengadakan rundingan bagi merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sudah tentu untuk menjayakan matlamat ini kuncinya adalah kestabilan politik,” katanya.

Beliau berkata, tuduhan kononnya Hajiji khuatir kalah pada PRN17 sehingga menyarankan GRS bergabung bersama-sama PH dan BN adalah tuduhan jahat dan provokasi tidak mempunyai asas yang kukuh.

“Kerajaan negeri Sabah tertubuh hari ini juga asasnya adalah merupakan jasa baik PH yang menentang kudeta menjatuhkan Hajiji pada Januari 2023.

“Tidak hairanlah apabila Hajiji mengajak PH bersama-sama untuk bekerjasama di dalam PRN17 kerana kedua-dua gabungan parti ini membentuk Kerajaan Negeri Sabah ketika ini.

“Misi Hajiji untuk menyatukan GRS, PH dan BN pada PRN17 harus disokong oleh semua pihak malahan ia juga sebenarnya hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast