KUALA LUMPUR- Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) berdepan kekurangan dana dan memerlukan sokongan kewangan dari Kerajaan Persekutuan bagi memastikan bekalan tenaga yang mampan.
Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau turut memberi amaran kemungkinan berlakunya gangguan bekalan elektrik di seluruh negeri itu bermula Januari tahun depan sekiranya bantuan kewangan tidak diberikan Persekutuan.
“Implikasi bekalan elektrik terputus secara sepenuhnya melebihi daripada sekadar keselamatan tenaga, malah ia juga mengancam keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tarif elektrik di Sabah kekal pada kadar disubsidi sebanyak 34.52 sen per kilowatt-jam (kWh) sejak 2014, walaupun kos pengeluaran dan pembelian tenaga semakin meningkat.
Sementara itu dalam satu hantaran di Facebooknya, Wilfred berkata, beliau telah memohon bekas Menteri Tenaga dan Air yang kini Menteri Sumber Asli, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk mengajukan perkara itu ke perhatian Kabinet.
“Saya sempat mohon agar YB Nik membawa permohonan Kerajaan Sabah mendapatkan Tariff Recovery Subsidy (TRS) daripada Kerajaan Persekutuan.
“Dia positif, dia akan bantu membawa perkara ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.
“Kita berdoa dan berharap jangan lah Sabah dibiarkan bergelap pada Januari 2025,” katanya lagi.
Menurut Wilfred, Sabah Electricity, kini hanya menghasilkan 20 peratus daripada bekalan tenaga negeri dan membeli 80 peratus lagi daripada pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan kos purata sebanyak 43 sen per kWh.
Beliau berkata, subsidi sokongan bahan bakar dan tarif Kerajaan Persekutuan menampung perbezaan kos bagi memastikan bekalan tenaga yang mampan dengan kerugian kira-kira 10 sen bagi setiap unit elektrik.
Namun, perbezaan kos semakin besar pada tahun ini kerana Sabah Electricity terpaksa membelanjakan lebih banyak untuk membeli diesel bagi menjana tenaga.
Ini menurut beliau, adalah alternatif segera bagi kelewatan dalam pengoperasian beberapa loji penjanaan yang akan beroperasi, khususnya Loji Hidro Tenom Pangi 66 megawatt (MW) yang terjejas berikutan tanah runtuh dan aliran lumpur pada Oktober 2022. -MalaysiaGazette