Katak Pacman.

KUALA LUMPUR – Hobi memiliki haiwan peliharaan yang unik dan sukar ditemui bukanlah sesuatu yang ganjil lebih-lebih lagi untuk penggemar reptilia dan haiwan eksotik seperti Katak Pacman jenis Cranwelli.

Pengasas Brotherhood Reptiles, Nur Nina Farisha Woo Abdullah berkata, katak yang berasal dari Amerika Selatan itu semakin mendapat perhatian untuk dipelihara, terutamanya sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

“Antara sebab mengapa haiwan ini semakin diminati adalah bentuk dan penampilannya yang sangat unik. Katak pacman mempunyai badan yang bulat dengan mulut yang besar serta terdiri daripada pelbagai warna yang menarik seperti teh tarik, albino, hijau biasa, strawberi dan samurai biru.

“Mereka boleh membesar sehingga tujuh hingga lapan inci iaitu dianggarkan sebesar piring pinggan dengan jangka hayat sekitar lapan tahu. Namun, jika dijaga dengan rapi, katak ini boleh hidup dengan lebih lama, iaitu sehingga 15 tahun,” katanya.

Nina Farisha berkata demikian kepada MalaysiaGazette Ketika ditemui di premis perniagaannya di Cheras, semalam.

Pengasas Brotherhood Reptiles, Nur Nini Farisha Woo Abdullah.

Tambahnya, penjagaan reptilia ini akan menjadi mudah sekiranya pemilik memahami keperluan asas seperti kebersihan air, pemakanan, suhu bersesuaian dan kebersihan.

“Penjagaanya mudah sahaja, air dalam akuarium yang didiami perlu ditukar dua kali sehari serta diletakkan dalam suhu bilik. Kalau terlalu panas, katak boleh terkena strok haba dan mengancam nyawanya.

“Dari segi pemakanan, katak kecil cukup diberi pallet namun untuk Pacman bersaiz besar, kita boleh beri tikus kecil.

“Lagi satu, saya nak tekankan yang fizikal katak Pacman ini senang menyerap, termasuklah segala bahan kimia yang ada di tangan kita. Jadi, seeloknya kita cuci tangan hanya dengan air biasa tanpa sabun supaya jangkitan dan kematian kepada reptilia itu dapat dielakkan,” tambahnya.

Pemeliharaan katak Pacman Cranwelly ini tidak memerlukan sebarang lesen khas daripada Perhilitan, kerana ia tidak terkandung dalam senarai haiwan yang memerlukan Permit di bawah Akta 716-2010.

“Jadi, jika anda mencari haiwan eksotik yang menarik dan tidak memerlukan penjagaan rumit, mungkin katak Pacman Cranwelly adalah pilihan yang ideal,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast