Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelebaran jalan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dijangka bermula pada Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kelewatan itu berpunca daripada pertukaran pemegang saham syarikat konsesi yang akan melaksanakannya kerja-kerja berkenaan kelak.

Jelas beliau, tempoh pembinaan akan mengambil masa empat tahun sehingga 2029.

“Ketika ini, pihak syarikat Konsesi sedang di dalam proses untuk memuktamadkan reka bentuk sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan fizikal di tapak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini dilaporkan kerja pelebaran jalan itu sepatutnya bermula suku kedua tahun ini.

Terdahulu Wan Razali Wan Nor (PN – Kuantan) bertanyakan rancangan KKR bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di KLK.

Ahmad berkata, berdasarkan kajian perunding trafik Level of Service (LOS) daripada E dan F pada hujung minggu akan menjadi lebih baik kepada LOS C.

Sebagai rekod, kerajaan telah meluluskan cadangan pelebaran Lorong tambahan Lebuhraya KLK yang akan dilaksanakan oleh pihak AFA Prime Berhad.

AFA sebelum ini dikenali sebagai ANIH Berhad.

Jelas Ahmad, projek pelebaran lebuhraya berkenaan melibatkan jarak sepanjang 45.3 kilometer (km) dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.1 bilion.

Kos tersebut yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi lebuh raya.

Selain itu, Ahmad berkata, KKR juga sedang melaksanakan Kajian Kemungkinan Pembinaan Jalan dari Simpang Pelangai, Pahang ke Putrajaya, Wilayah Persekutuan.

Kajian itu bagi mencari penyelesaian untuk melengkapkan kesalinghubungan lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di samping menentukan laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan kepada laluan sedia ada dari Pantai Timur ke Pantai Barat Malaysia.

Katanya, kajian berkenaan diluluskan dalam Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia ke-12 (RP4, RMKe-12) dengan kos siling kajian RM2.5 juta yang bakal siap 12 Ogos tahun depan.

“Skop kajian ini melibatkan Kajian Guna Tanah, Kajian Sosio Ekonomi, Kajian Trafik, Kajian Penilaian Saringan Impak Alam Sekitar (Environmental Screening Study), Kajian Penilaian Saringan Impak Sosial (Social Screening Study), Reka bentuk Awalan Kejuruteraan, Perincian Penilaian Ekonomi dan Kewangan dan Cadangan Fasa Pelaksanaan Projek,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast