Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu menerangkan proses-proses serta tata kelola yang diambil sebelum sesuatu pelaburan itu diluluskan.

Saranan itu diberikan Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid susulan kontroversi pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet).

Menjelaskan lebih lanjut, kata beliau, langkah penjelasan itu bagi mewujudkan suatu tanggapan berkredibiliti tinggi bahawa keputusan pelaburan yang dibuat melalui prosedur dan tadbir urus selain disokong oleh hasil penyelidikan pelaburan.

“Kebiasaanya sistem tadbir urus di GLIC adalah jelas kerana setiap keputusan dibuat peringkat jawatankuasa pelaburan dan panel pelaburan.

“Pelaburan itu pula akan dipantau melalui sistem pelaporan yang berkala, jadi proses ini mungkin perlu diterangkan dalam isu melibatkan pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, ditanya berhubung dakwaan Khazanah dan PNB cuai dalam keputusan pelaburan FashionValet sehingga menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit, Mohd. Afzanizam berkata, dakwaan sedemikian agak berat memandangkan setiap pelaburan mempunyai risiko tersendiri.

Apatah lagi, ujar beliau, pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat yang mempunyai persaingan yang intensif seperti FashionValet sudah pasti mempunyai profil risiko pelaburan yang tinggi.

Jelasnya, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah penerangan proses due diligence atau penilaian yang telah dilaksanakan serta justifikasi yang digunakan untuk Khazanah dan PNB melabur dalam Fashion Valet.

Selain itu, tambah beliau, penerangan juga perlu dibuat daripada segi pengurusan risiko serta langkah mitigasi yang telah dilaksanakan apabila prestasi pulangan pelaburan tidak mencapai sasaran seperti ditetapkan.

“Saya percaya setiap GLIC menginstitusikan amalan pengurusan risiko yang tuntas dan perkara ini perlu diterangkan kepada rakyat dalam bahasa yang mudah,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dilaporkan sudah memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh PNB dan Khazanah dalam FashionValet.

Difahamkan siasatan itu dijalankan disebabkan sebab jumlah kerugian yang direkodkan kedua-dua agensi berkaitan kerajaan berkenaan terlalu besar dan membabitkan kepentingan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast