Mohd Jafni (tengah) menyaksikan MoU antara MOC, UTM dan Princeton Digital Group selepas Perasmian Seminar Kulai Fast Lane Pemacu Negara di Hotel Impiana Senai, Kulai hari ini.

KULAI – Kulai Fast Lane (KFL) diperkenalkan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sudah berjaya menarik pelaburan sehingga RM40 bilion sejak 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sehingga 171 peratus sekali gus merupakan pencapaian terbaik di daerah itu setakat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu berkata, menerusi usaha tersebut sebanyak 7,000 peluang pekerjaaan dapat disediakan.

Pihaknya kata beliau, akan terus menggalakkan pelaburan di daerah berkenaan menerusi KFL terutama dalam bidang elektronik dan perkhidmatan.

“Di Kulai sekarang ini kita telah dapat permohonan di tapak indsutri yang baharu melibatkan 161.874 hektar yang baru-baru ini dibeli pihak Eco World Development Group Bhd (EcoWorld).

“Kita juga ada Step 1 dan Step 2 di Kawasan Industri Sedenak. Step 1 di Kawasan Indsutri Sedenak melibatkan kawasan seluas 2938.018 hektar hampir penuh.

“Step 2 pula kini sudah 60 peratus (kawasan) telah dibeli pelabur dan dalam proses pembangunan,” katanya dalam sidang akbar selepas merasmikan Seminar Kulai Fast Lane Pemacu Negara di Hotel Impiana Senai di sini hari ini.

Turut hadir Yang DiPertua MPKu, Mohd Fahmi Salam, Pengarah Productivity Corporation (MPC) Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Rolsli Md Illias.

KFL merupakan satu inisiatif mesra pelabur yang meningkatkan kemajuan dan memastikan kemampanan serta kerancakan pertumbuhan produktiviti dan ekonomi khususnya di Johor.

Selain itu, KFL juga adalah satu proses pemajuan yang dilaksanakan secara pantas dan tangkas.

Ini bermula daripada kelulusan pelan hingga bangunan siap di tapak seterusnya kebenaran beroperasi menerusi gabungan proses pada peringkat kelulusan pelan, perakuan siap dan pematuhan (CCC) dan lesen pengoperasian.

Mengulas lanjut, Jafni berkata, di Kulai terdapat 2023.428 hektar lagi kawasan akan digunakan untuk pembangunan bercampur seperti di Kawasan Industri Sedenak pada masa akan datang.

Pada masa sama, katanya, projek-projek perumahan sedang rancak dibina di daerah ini dan syarikat pemaju perumahan Scientex sudah membeli 161.874 hektar tanah.

“Scientex membeli tanah untuk tujuan komersil dan pembangunan bercampur, begitu juga ada pemaju membeli 404.686 hektar tanah di Kota Tinggi untuk buat pembangunan bercampur,” ujarnya.

“Jadi pada tahun depan, kaedah KFL akan kita gunakan bukan tertumpu dalam industri sahaja tetapi juga pembangunan seperti pembinaan hospital pakar dan kompleks beli-belah,” ujarnya.

Mengenai seminar tersebut, Mohd Fahmi berkata, MPKu dan rakan strategik merangka beberapa perancangan melibatkan pelbagai aspek seperti sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“MPKu pada hari ini memperkukuh jalinan kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan MPC, UTM dan Princeton Digital Group.

“Pelaksanaan kerjasama ini akan memberi manfaata kepada masyarakat di negeri ini khusunya komuniti di Kulai,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here