KUALA LUMPUR – Maxis akan melakukan libat urus Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memahami rasional keputusan pengendali rangkaian mudah alih itu untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.
Katanya, syarikat itu akan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada selepas perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.
Langkah itu dibuat selepas SKMM mengumumkan U Mobile Sdn Bhd telah memenangi bidaan untuk melaksanakan rangkaian 5G Kedua dan bukannya Maxis dan CelcomDigi Bhd.
Maxis berkata, ia telah mengemukakan cadangan teknikal dan komersial yang komprehensif sebagai respons kepada jemputan tender dari Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk rangkaian 5G kedua.
Menurutnya, cadangan rangkaian 5G Maxis berdasarkan teknologi 5G-Advanced (5G-A), iterasi 5G seterusnya dengan keupayaan yang dipertingkatkan yang dibangunkan untuk penggunaan perusahaan.
“Cadangan tersebut merangkumi pengalaman selama 30 tahun Maxis dalam membina, mengendalikan, dan membiayai rangkaian bertaraf tertinggi serta menyediakan perkhidmatan yang terunggul kepada pelanggan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sebagai penyedia penyelesaian bersepadu terkemuka di Malaysia, Maxis berkata, ia komited sepenuhnya kepada pembangunan jangka panjang Malaysia, dan memastikan seluruh negara kita dapat berkongsi manfaat 5G dan ekonomi digital.
Dengan keupayaan meluas perniagaan perusahaan Maxis yang boleh memenuhi keperluan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk lebih daripada 140,000 pelanggan perusahaan.
Malah, Maxis bersedia untuk membantu meningkatkan penerimagunaan 5G dalam kalangan perusahaan, salah satu matlamat utama kerajaan, selain sentiasa menyediakan kesalinghubungan yang pantas, selamat dan boleh dipercayai untuk pengguna, perniagaan dan sektor awam.
Katanya, liputan Maxis meluas lebih daripada 11,000 tapak mudah alih di seluruh negara boleh dinaik taraf bagi menyampaikan pengalaman 5G yang terbaik dan memacu pembangunan digital negara.
Sebahagian besar daripada tapak mudah alihnya telah dilengkapi fiber, dan akan mempercepatkan fiberisasi untuk menyokong kelajuan 5G yang semakin pantas.
Maxis menambah, dengan infrastruktur rangkaian kukuh dan kepakarannya, cadangan pelaksanaan rangkaian 5G dijangka mengambil masa dan sumber yang jauh lebih sedikit untuk mencapai peritus liputan kawasan berpenduduk yang sama seperti rangkaian 5G pertama.
Liputan 5G dalam bangunan turut akan disediakan di kawasan tersebut, ujarnya.
“Sementara kami terus meneroka pilihan kami mengenai 5G dan melibat urus semua pihak berkepentingan, kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami sama ada pengguna mahupun perusahaan serta rakyat akan terus menikmati perkhidmatan 5G melalui perjanjian akses sedia ada kami dengan Digital Nasional Berhad (DNB),” tambah Maxis.
Ia menambah, Maxis adalah syarikat tempatan dengan 77% saham dipegang oleh orang Malaysia. – MalaysiaGazette