KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon kepada Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan supaya kes hasutan yang dihadapi olehnya didengari di peringkat Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam mewakili Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad bahawa, pihaknya memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana kes berkenaan membabitkan undang-undang yang penting termasuk isu pelantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.
Jelas peguam itu, kes terbabit wajar dipindahkan ke peringkat Mahkamah Tinggi untuk didengar Hakim Mahkamah Tinggi kerana membabitkan isu sensitif dan menyentuh beberapa isu penting.
Katanya, Mahkamah Sesyen tidak ada bidang kuasa dalam beberapa isu undang-undang penting bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.
“Kami rasa ada baiknya kes anak guam kami dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Kita harap keputusan permohonan akan dapat diketahui dalam bulan ini atau Disember ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes hasutan tersebut berikutan permohonan pasukan pembelaan hari ini.
Muhyiddin diwakili enam peguam peguam diketuai Amer Hamzah Arshad, manakala lima Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Azlina Rasdi bagi pihak pendakwaan.
Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen pada 27 Ogos lepas atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu, 14 Ogos lalu.
Muhyiddin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.- MalaysiaGazette