KUALA LUMPUR – Pembangkang akan tetap menjadi suara rakyat bahkan lebih keras susulan pendakwaan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia akan terus dilakukan meskipun kerajaan PH-BN didakwa cuba menutup mulut pembangkang dengan pelbagai cara yang zalim.
“Solidariti kami bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Mahkamah Gua Musang hari ini – yang didakwa hanya berkata benar.
“Rakyat sedang memerhati,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan hari ini menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri yang didakwa atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu, Ogos lalu.
Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd. Shukri menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam Muhyiddin memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Sebelum ini, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen itu atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos lepas.
Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau yang tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Presiden Bersatu berkenaan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette