KUALA LUMPUR – Polis pengiring pemangku Sultan Johor mengaku bersalah atas tuduhan mencederakan seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) pada 28 Mei tahun ini di Mahkamah Majistret hari ini.
Tertuduh, Muhammad Taufik Ismail membuat pengakuan salah di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan hari ini.
Mengikut pertuduhan, polis pengiring itu didakwa menyebabkan kecederaan ke atas OKU terbabit, Ong Ing Keong di hadapan sebuah hotel di sini sekitar jam 11.40 pagi, Mei lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, tertuduh juga memohon maaf melalui peguamnya, Ashok Athimulan untuk kesalahan itu kepada mangsa.
Ashok juga memohon pertimbangan mahkamah untuk meringankan hukuman dengan hanya memberikan denda minimum bagi pertuduhan tersebut.
Hujah Ashok, tertuduh tiada sebarang sabitan lampau dan kejadian itu tidak melibatkan sebarang peralatan atau senjata bagi kecederaan itu dan ia bukan satu jenayah terancang.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan andai gagal membayar denda tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 hari.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya telah mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota pengiring yang didakwa memukul seorang pemandu e-hailing OKU di lobi sebuah hotel di ibu negara pada 28 Mei lepas.
Mangsa juga bertindak mendedahkan video kejadian tersebut yang dirakam kamera papan pemuka kereta miliknya ekoran tiada tindakan lanjut diambil walaupun kertas siasatan didakwa telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dalam rakaman video berdurasi satu minit 30 saat itu, Ong dilihat berada di dalam kereta sepanjang kejadian sambil menunggu pelanggannya meletakkan beg di but keretanya.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian sut mengetuk cermin kereta sambil mengarahkan Ong supaya bergerak dan mangsa menggunakan bahasa isyarat cuba memberitahu dia sedang menunggu penumpang yang masih di luar keretanya.
Beberapa saat kemudian seorang lagi lelaki berpakaian sut dipercayai anggota pengiring terbabit muncul di sebelah tingkap tempat duduk pemandu dan bertindak menumbuk pemandu OKU berkenaan. – MalaysiaGazette
Fenda RM100p aje? Pegawai pengiring istana tu.