KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak petrol di pengkalan haram Poksu Roni Pengkalan Kubor, Kelantan, semalam.
PGA dalam kenyataan berkata, menerusi Op Taring Wawasan Kelantan, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun bagi membantu siasatan.
“Rampasan pukul 4.40 petang dilakukan selepas Pasukan Batalion 8 menahan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati satu unit tangki minyak yang sudah diubah suai bernilai RM3,000 dan lebih 70 liter minyak petrol ditemui dalam kenderaan tersebut,” katanya.
Menurut PGA, kesemua minyak petrol yang dirampas dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
PGA juga turut merampas kenderaan yang dinaiki suspek dan minyak petrol dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM8,149.65.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan hasil rampasan dibawa ke Komtak PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette