KUALA LUMPUR – Program Jelajah Ulama dan Umara Zon Tengah 2024 memberi peluang kepada pimpinan agama peringkat tertinggi untuk bertemu para murabbi dan berkongsi perkembangan terkini dasar agama Islam.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, selain itu, ia juga bagi mengeratkan ukhuwah serta mewujudkan ruang perbincangan serta perkongsian pandangan antara umat Islam.
“Antara perkara penting yang dibincangkan hari ini adalah inisiatif Malaysia Madani dan pelan transformasi Al-Falah yang sedang dilaksanakan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Dalam jelajah ini juga, para peserta telah diberi penerangan tentang pemahaman akidah yang sebenar selain bantu meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perpaduan dalam kalangan umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Ulama’ dan Umara’ di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.
Pada majlis sama, anugerah Tokoh Mithali turut diberikan kepada mereka yang telah berjasa dalam mendidik dan menyebarkan dakwah Islam.
“Sebanyak enam tokoh termasuk imam, guru KAFA dan guru takmir telah menerima anugerah itu di atas kegigihan mereka mendidik generasi muda tentang agama Islam.
“Semoga anugerah ini akan memberi inspirasi kepada generasi muda Murabbi Umar untuk lebih gigih dan menjadikan para penerima anugerah ini sebagai ikon untuk bekerja keras,” kata Mohd Na’im. – MalaysiaGazette