Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikawal BlackRock Inc. adalah isu besar kepada Perikatan Nasional (PN).

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN -Kota Bharu) berkata, isu penjualan saham yang dimilik oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sangat mendesak untuk diketengahkan  pembangkang berbanding pemilikan saham yang dianggap kecil pada syarikat-syarikat lain di negara ini.

“Jadi, itu isu kepada kita, yang lain itu kecil-kecil kita boleh selesaikan dengan cara yang senang, ini saham yang dibeli Blackrock ini adalah kepunyaan kerajaan, aset stategik kerajaan iaitu lapangan terbang.

“Bezanya Blackrock dalam MAHB dengan saham Blackrock dalam syarikat-syarikat kecil lain, jangan cuba kelirukan perkara ini, kita fokus kepada MAHB,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, pembangkang tidak mempersoalkan kewujudan pegangan saham syarikat berkaitan Blackrock di negara ini namun pihaknya hanya mempersoalkan syarikat tersebut yang akan memiliki pegangan syarikat milik kerajaan.

“Kita bangkitkan dalam Parlimen bahawa Menteri Kewangan II (Datuk Amir Hamzah Azizan) mengatakan Blackrock ini walaupun dia ada 30 peratus saham sahaja dia beli yang bernilai RM4 bilion dia nak masukkan pelaburan lanjutan RM10 bilion dan akan mencairkan 70 peratus daripada saham yang dipegang oleh Khazanah dan KWSP ini,” katanya lagi.

PN sebelum ini lantang mengkritik langkah kerajaan untuk menjual 30 peratus pegangan sahamnya yang dimiliki oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didalam MAHB kepada GIP.

Sebelum ini timbul isu membabitkan penjualan pegangan saham dalam MAHB kepada BlackRock.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penjualan itu dibuat selepas melalui syarat ketat dengan tapisan dilakukan dalam kalangan keseluruhan 145 syarikat yang berminat.

Lima syarikat akhirnya disenarai layak termasuk BlackRock dengan antara isu yang timbul di peringkat rundingan adalah kebanyakan syarikat berkenaan mahu diberikan hak mengurus sepenuhnya.

Pada Jun lalu, GIP menegaskan, BlackRock tidak pernah sama sekali terbabit dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Pada 15 Mei lalu, GDA dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Konsortium, pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.

Konsortium itu diterajui oleh dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan KWSP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast