KUALA LUMPUR – Sebarang semakan terhadap langkah keselamatan kenderaan adalah berpandukan kepada penemuan oleh pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan kejadian renjatan elektrik yang melibatkan seorang remaja di dalam bas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemeriksaan keselamatan yang berkaitan dengan sistem pendawaian pada kenderaan mungkin akan dipertimbangkan semula susulan insiden tersebut.
“Kita perlu menetapkan fakta terlebih dahulu untuk menentukan sama ada penggunaan USB adalah punca kejadian,” jelas Loke semasa lawatan ke stesen PETRONAS Cochrane Perkasa.
“Masih terlalu awal untuk menentukan punca sebenar insiden itu, memandangkan bas perlu diperiksa dengan teliti.
“Hanya selepas itu kita akan mengenal pasti punca insiden dan mencadangkan langkah keselamatan dari situ,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Loke mengesahkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak menjalankan pemeriksaan ke atas komponen elektrik kenderaan pada masa ini.
Ditanya sama ada pemeriksaan pendawaian elektrik akan dimasukkan kedalam pemeriksaan keselamatan kenderaan pada masa hadapan, beliau mengakui kemungkinan perkara tersebut.
Pada Sabtu lalu, seorang remaja berusia 18 tahun ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduknya di dalam bas ekspres di Penang Sentral, Pulau Pinang sekitar pukul 6 petang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman dilapor berkata, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi maut di tempat kejadian dengan kecederaan pada jari tangan sebelah kiri.
Remaja itu didakwa terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefonnya di dalam bas.
Saksi kejadian dikatakan mendengar jeritan mangsa sebelum mangsa ditemui dengan mulutnya berbuih.
Semalam, Loke mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat insiden tersebut.
Pasukan petugas itu, yang terdiri daripada anggota Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), telah diberikan tempoh dua minggu untuk menyelesaikan siasatan mereka. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:-
MOT tubuh pasukan khas siasat remaja maut terkena renjatan elektrik dalam bas